GEORGE TOWN – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini melancarkan Pusat Pelajar Sains Fizik yang menyediakan ruang khas dengan kemudahan selesa yang menjadi pusat sehenti bagi pelbagai aktiviti khusus penuntut Pusat Pengajian Sains Fizik (PPSF).
Pemangku Naib Canselor Prof Ahmad Shukri Mustapha Kamal berkata ruang itu disediakan bagi memudahkan aktiviti pelajar khususnya yang berkaitan dengan kegiatan ilmiah seperti mengulang kaji, perbincangan kumpulan selain peluang berinteraksi dengan pensyarah.
“Pusat yang bersaiz lebih 4,000 kaki persegi itu dilengkapi pelbagai kemudahan seperti internet itu boleh menjadi tempat untuk pelajar berinteraksi, selain menjadi satu agenda memperkasakan pelajar USM di bawah Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pusat itu di sini.
Ahmad Shukri, yang juga Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa berharap pusat itu dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan keupayaan kira-kira 900 penuntut PPSF mengoptimumkan pencapaian akademik.
Pusat, yang dibuka pada Isnin hingga Jumaat kecuali cuti umum itu, dilengkapi dengan surau, ruang bacaan, ulangkaji kumpulan, ruang rehat, bilik persatuan pelajar, bilik dan kemudahan ruang untuk melaksanakan temuduga panel penasihat dan temuduga kerja dengan pihak industri. – BERNAMA
Berita dari USM - Klik Di Sini
Sekian, Terima Kasih ~ =)
No comments:
Post a Comment